AM

NELAYAN MUDA DISARAN CEBURI INDUSTRI HILIRAN BANTU KUKUH SEKURITI MAKANAN NEGARA

10/06/2024 06:48 PM

TAIPING, 10 Jun (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menggesa nelayan muda di seluruh negara meneroka industri hiliran dalam sektor perikanan yang mampu meningkatkan pendapatan mereka. 

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Bohari Leng berkata selain tangkapan hasil laut, nelayan boleh memanfaatkan hasil laut dengan mengusahakan aktiviti akuakultur serta menghasilkan produk hiliran bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata penglibatan nelayan muda sangat penting kepada sektor perikanan negara terutama dalam usaha DOF memastikan kelestarian sekuriti makanan negara.

"Kita sedar ada segelintir nelayan muda yang tidak sanggup berada lama di atas kapal jadi mereka boleh ceburi sektor agrikultur yang turut menawarkan peluang pekerjaan seperti ternakan sangkar, penetasan benih dan lain-lain. 

"Industri hiliran juga semakin berkembang ketika ini, pembuatan keropok, ikan kering dan lain-lain kerana industri perikanan bukan hanya fokus menangkap ikan namun boleh dikembangkan dengan menjalankan perniagaan memproses makanan laut," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPeKS) Perikanan kepada My Komuniti Perikanan (myKP) Kampung Dew dekat sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali A Manap. 

Bohari berkata DOF sentiasa menggalakkan nelayan menjalankan perniagaan hiliran yang sebenarnya dekat dengan mereka kerana hasil tangkapan boleh diproses untuk menghasilkan produk makanan.

"Kerajaan menggalakkan agromakanan diusahakan dengan memberikan pelbagai insentif untuk golongan ini. Kita bukan minta mereka berhenti menjadi nelayan tetapi guna sepenuhnya hasil itu secara maksimum sebagai pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata DOF sentiasa menyarankan kepada nelayan sentiasa mendapatkan maklumat terlebih dahulu di pejabat jabatan perikanan daerah sekiranya keliru tentang lesen penangkapan ikan. 

"Jika tidak mempunyai lesen, kita boleh mencari nelayan yang mempunyai lesen sah untuk bekerja sebagai awak-awak kerana lesen hanya diperlukan jika ingin memiliki bot dan peralatan menangkap ikan.

"Sekiranya ayah mereka mempunyai lesen, namun pemegang lesen tidak sihat, berada di luar negara atau lain-lain maka anak boleh memohon di jabatan perikanan untuk kelulusan turun ke laut," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan