AM

DASAR PERALIHAN TENAGA SARAWAK LIBATKAN KERJASAMA DENGAN NEGARA LAIN - ABANG JOHARI

11/06/2024 12:13 AM

KUCHING, 10 Jun (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Dasar Peralihan Tenaga negeri itu atau SET-P, satu lagi pelan hala tuju ke arah tenaga hijau bagi memastikan masa depan yang mampan, bersih dan makmur, akan melibatkan kerjasama dengan negara lain.  

Beliau berkata kerjasama itu adalah dari segi perkongsian teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan. 

“Dengan menerima prinsip inovasi, keterangkuman dan amalan terbaik global, SET-P membayangkan pendekatan pelbagai dimensi yang menyepadukan dasar, peraturan, teknologi, infrastruktur serta penglibatan komuniti.

“Sesetengah pihak merujuk konsep ini sebagai ‘hipernomik,' menonjolkan impak transformatif memanfaatkan infrastruktur termaju dan memupuk penglibatan komuniti yang memberangsangkan,” katanya dalam ucaptama pada perasmian Pameran dan Persidangan Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di sini hari ini. 

Abang Johari berkata hipernomik mencerminkan rangka kerja sinergistik yang menyaksikan elemen ini berfungsi secara harmoni, mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan usaha peralihan tenaga Sarawak. 

Beliau turut mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan bagi Tenaga Bersih di Sarawak sebagai hab inovasi, penyelidikan dan pembangunan serta menghimpunkan pakar bagi merintis teknologi tercanggih yang memanfaatkan sumber boleh diperbaharui.

“Pusat ini akan menerajui persediaan dan pengurusannya sekali gus melambangkan komitmen kami terhadap inovasi dan kemajuan dalam sektor tenaga bersih. Ia akan memacu kemajuan dalam domain tenaga bersih seperti hidrogen, hidroelektrik, tenaga solar, biojisim dan bentuk lain yang baru muncul,” katanya. 

Abang Johari berkata Sarawak, yang sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak melalui Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri itu, telah memperoleh geran pengajian berprestij mengenai tenaga hidrogen daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan.

“Geran ini akan membolehkan kami memulakan kajian untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak, satu pelan tindakan komprehensif untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen. Kami berhasrat untuk memajukan kepinpinan Sarawak dalam ekonomi hidrogen bekerjasama dengan Korea Selatan bagi meneroka strategi inovatif bagi pengeluaran dan penggunaan hidrogen. 

"Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak akan membimbing usaha kami, meliputi kemajuan teknologi, pembangunan infrastruktur dan kerangka kawal selia. Menerusi kerjasama, kami mencari pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penjagaan alam sekitar sekali gus menyumbang kepada matlamat kelestarian global,” katanya. 

Sementara itu, Abang Johari berkata inisiatif geran pengajian itu adalah antara usaha penyahkarbonan kerajaan Korea Selatan. 

“Saya tidak memiliki angka itu tetapi ia agak besar.. memandangkan kami memiliki bahan mentah, kami boleh bekerjasama dengan mereka, itulah sebabnya kami ingin menghasilkan hidrogen itu di sini dan ia akan dibawa ke Korea," katanya. 

APGH 2024, yang berlangsung dari 10 hingga 12 Jun, berfungsi sebagai platform menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar, pakar dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia untuk meneroka serta mempromosi potensi hidrogen hijau.

Persidangan itu menampilkan program yang meluas termasuk ucaptama, perbincangan panel, sesi teknikal dan pameran komprehensif yang mempamerkan kemajuan terkini dalam teknologi hijau hidrogen.

Lebih 100 pempamer dan 500 delegasi mengambil bahagian dalam persidangan itu yang dijangka menjadi pemangkin projek, pelaburan serta kerjasama baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan