AM

FAHMI SERU WARGA KEMENTERIAN KOMUNIKASI MERAKYATKAN PENYAMPAIAN MAKLUMAT

11/06/2024 12:37 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Warga Kementerian Komunikasi diseru untuk merakyatkan penyampaian maklumat kepada Komuniti MADANI atau kumpulan sasaran bagi memastikan maklumat yang ingin disalurkan dapat difahami dengan baik dan tidak disalah erti, kata Menteri berkenaan Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penggunaan bahasa tempatan seperti dialek daerah boleh diterapkan dalam penyampaian dasar dan program kerajaan supaya ia lebih mudah difahami oleh komuniti setempat.

"Bila saya menjelajah atau mengadakan pertemuan dengan Komuniti MADANI di lapangan, saya dapati mungkin sesuatu perkara itu boleh disesuaikan cara penyampaian mesejnya kepada komuniti terlibat.

"Malaysia sebuah negara yang majmuk, yang kaya dengan kepelbagaian dan pelbagai suku kaum, bahasa dan dialek, maka kita kena pastikan mesej itu bukan hanya menggunakan bahasa rasmi tapi dapat disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami di peringkat akar umbi.

"Seperti Pulau Bum Bum di Semporna, (Sabah) mungkin ada beberapa perkara itu sesuai dengan komuniti di situ dan perlu dipastikan ia diterjemah dan disampaikan dalam bentuk yang mudah dicerap, difahami oleh penduduk setempat,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Jun 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, semasa berucap, Fahmi berkata maklum balas yang diterima beliau daripada Komuniti MADANI menyatakan penyampaian sesuatu maklumat atau dasar kerajaan banyak menggunakan bahasa terlalu formal.

"Kadangkala, teguran yang saya terima daripada rakan-rakan dalam Komuniti MADANI, sering kali komunikasi kita dalam 'bahasa Putrajaya'’, kita menggunakan ayat yang penuh dengan nahu yang betul, koma dan titik di tempatnya.

"Tapi realitinya menunjukkan kita perlu merakyatkan penyampaian komunikasi," katanya.

Fahmi pada masa yang sama mahu warga kerja Kementerian Komunikasi membantu rakan-rakan daripada kementerian lain untuk memastikan mesej yang ingin mereka sampaikan, terutama yang melibatkan dasar dan program sampai kepada kumpulan sasar.

"Saya lihat kita perlu bantu kawan-kawan kita dalam kalangan setiausaha akhbar dan ketua unit komunikasi korporat, kejayaan mereka adalah kejayaan kita. Sekiranya mereka belum berjaya untuk berkomunikasi, menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasaran dengan baik, itu juga cabaran bagi kita.

"Kita tidak boleh pandang sambil lewa atau tidak ambil berat sebarang aspek komunikasi dalam kalangan mereka daripada kementerian lain, sekiranya kita dapati ada perkara yang boleh kita bantu, maka kita terus panjangkan bantuan itu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan