AM

FAHMI MAHU MYGCC KUMPUL DATA PANGGILAN BERKAITAN ISU SUBSIDI DIESEL

11/06/2024 01:45 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) merekodkan data jumlah panggilan dan persoalan yang diterima daripada orang ramai berkaitan isu subsidi diesel yang baru dikuatkuasakan.

Bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Jun 2024 di sini hari ini, beliau berkata data berkenaan diminta untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca-Kabinet.

"Di pihak kementerian, kita akan teliti sekiranya ada perkara-perkara yang konsisten dibangkitkan (berkenaan isu subsidi diesel), kita akan panjangkan kepada kementerian berkaitan dan Jemaah Menteri," katanya.

Fahmi pada masa yang sama juga mahu MyGCC dapat menjawab persoalan dibangkitkan pemanggil mengenai isu subsidi diesel dengan baik, tuntas dan ringkas.

Pada Ahad lepas, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

MyGCC merupakan pusat sehenti dengan nombor tunggal, 03 8000 8000, yang menjadi gerbang komunikasi menghubungkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.

MyGCC menawarkan perkhidmatan penerimaan pertanyaan, aduan, bantuan pemindahan talian, cadangan dan maklum balas rakyat melalui saluran panggilan, Chatbot, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), e-mel dan media sosial (Facebook, Instagram, Twitter) beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan