AM

AIROD, ASFAT METERAI CFA BERKAITAN TEKNIKAL, PERKHIDMATAN LOGISTIK

11/06/2024 11:53 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

ANKARA, 11 Jun (Bernama) -- Airod Sdn Bhd (Airod) dan ASFAT Incoporated, syarikat pengeluar peralatan ketenteraan dan limbungan kapal Turkiye hari ini menandatangani perjanjian rangka kerja kerjasama (CFA) berkaitan teknikal dan perkhidmatan logistik pelbagai pesawat khususnya melibatkan A400M, S-70A, CN-235 dan C-130 di sini.

Perjanjian dimeterai dengan disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawatnya Yasar Guler, melambangkan komitmen yang kukuh terhadap kerjasama dan inovasi dalam keupayaan pertahanan aeroangkasa di rantau ini.

Kerjasama antara Airod dan ASFAT menandakan pencapaian penting dalam memajukan keupayaan pertahanan aeroangkasa selepas kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) tahun lepas.

Presiden Kumpulan Airod Datuk Edron Hayata Ahmad dan Naib Presiden ASFAT Betulhan Kahraman menzahirkan komitmen untuk kerjasama berkenaan, mengetengahkan peluang strategik untuk menggabungkan keupayaan kejuruteraan tentera Malaysia dan Turkiye serta inovasi dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO-U).

Edron Hayata berkata CFA berkenaan bermatlamat untuk memacu pertumbuhan dalam sektor pertahanan aeroangkasa selain memenuhi permintaan industri dan piawaian antarabangsa di peringkat serantau.

“Kerjasama antara Airod and ASFAT juga merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha berterusan ke arah kepakaran kejuruteraan dan peningkatan keupayaan pertahanan sektor aeroangkasa negara.

"Kerjasama ini akan memudahkan pertukaran pengalaman dan keupayaan, sekali gus memanfaatkan kedua-dua pihak dan kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerjasama terbabit akan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia-Turkiye dan meningkatkan industri pertahanan penerbangan negara.

Kerjasama antara Airod dan ASFAT bakal membawa kemajuan ketara terhadap industri aeroangkasa selain mendorong pertumbuhan dan kejayaan kepada kedua-dua negara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan