AM

SMA GUNA GENTIAN OPTIK UNTUK LENGKAPKAN RANGKAIAN INTERNET PEDALAMAN SARAWAK

14/06/2024 05:12 PM

KUCHING, 14 Jun (Bernama) -- Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan menggunakan inisiatif gentian optik untuk melengkapkan kawasan pedalaman Sarawak dengan rangkaian Internet, kata Penasihat Teknikal SMA Peter Chia.

Dalam satu kenyataan SMA hari ini, Peter berkata inisiatif ini adalah sesuai bagi kawasan yang jauh di pedalaman apabila pembinaan menara telekomunikasi mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan.

“Selain gentian fiber, kita juga ingin meneroka teknologi (internet satelit) Starlink untuk kawasan-kawasan yang amat sukar dihubungkan dengan rangkaian telekomunikasi. Ini kerana, bentuk muka bumi Sarawak yang luas dan berbukit-bukau,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beliau berkata demikian semasa memberikan taklimat kepada rombongan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia yang diketuai oleh Kaunselor Hal Ehwal Komersial Francis Peter yang mengadakan lawatan ke sini semalam (Khamis).

Menurut Chia, salah satu peranan penting SMA ialah memproses data tadbir urus yang memerlukan kesalinghubungan jitu.

“Banyak perkara yang memerlukan pemprosesan data apabila kita bergerak ke arah ekonomi digital. Justeru, kesalinghubungan amat penting bagi memastikan setiap rakyat Sarawak tidak ketinggalan dalam agenda pembangunan ekonomi digital,” katanya.

Dalam pada itu, Francis berkata Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia berminat untuk meneroka bidang digital di Sarawak seperti keselamatan siber dan pelan bandar pintarnya.

“Kami ingin meneroka lebih banyak sumber di Sarawak dan sangat mengalu-alukan kerjasama pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu pada Selasa, SMA turut menerima lawatan daripada rombongan Suruhanjaya Tinggi Kanada ke Malaysia yang diketuai oleh Kaunselor (Komersial) dan Pesuruhjaya Perdagangan Kanan Ryan Baerg.

Dalam lawatan itu, rombongan terbabit telah mendengar taklimat mengenai pembangunan bandar pintar di Sarawak oleh Pengurus Besar SMA Datuk Dr Anderson Tiong, selain taklimat dari Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems (SAINS) Busiai Seman dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Malseni Jamal. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan