AM

TUNKU MAHKOTA ISMAIL DIPERSEMBAH WARKAH PERSILAAN ISTIADAT PERTABALAN YDPA KE-17

14/06/2024 10:41 PM

JOHOR BHARU,14 Jun (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini  berangkat ke Majlis Menghadap untuk menyembahkan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim. 

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman rasmi Facebook milik baginda, majlis menghadap berkenaan berlangsung di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di sini hari ini.

"Persembahan Warkah Persilaan itu diketuai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

"Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Awang Alik Jeman serta Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sementara itu, Fahmi selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong turut berkongsi mengenai majlis menghadap berkenaan menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini. 

Pada sesi menghadap itu, Fahmi telah mempersembahkan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Pada 16 Mei, Fahmi berkata Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Katanya, kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan pelbagai acara bersempena dengan istiadat penuh simbolik itu yang berlangsung lima tahun sekali.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan