SUKAN

SKUASY: MALAYSIA SAPU BERSIH GELARAN JUARA BERPASUKAN ASIA

16/06/2024 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Malaysia mendominasi perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2024 dengan menyapu bersih kedua-dua gelaran berpasukan lelaki dan wanita di Dalian, wilayah Liaoning, China, hari ini.

Pasukan wanita negara berjaya merampas kembali kejuaraan dengan menumbangkan juara bertahan Hong Kong 2-0.

Ratu skuasy wanita negara N.Sivasangari memulakan rentak kemenangan Malaysia  dengan menyumbang mata pertama dengan mengatasi Ho Tze Lok, dalam pertarungan lima set, menurut laman sesawang  https://worldsquash.tv/sportitem/6644bb3a2573fe036b95bd57

Pemain nombor 10 dunia dan juara Sukan Asia Hangzhou 2022, Sivasangari mencatatkan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan set pertama untuk menang 3-2 (10-12, 13-11, 11-6, 10-12, 11-8).

Perseorangan kedua negara Rachel Arnold jelas meneruskan momentum kemenangan untuk mengesahkan kemenangan mutlak apabila mengecewakan Tong Tsz  Wing 3-0 (11-6, 11-5, 11-8).

Kemenangan yang memberangsangkan ini mengesahkan dendam manis Malaysia terhadap Hong Kong yang telah memusnahkan harapan mereka untuk gelaran berturut-turut pada final 2022.

Jurulatih kebangsaan Shahril Shahidan memuji ketabahan Sivasangari dan menyerlahkan fokus dan ketenangan Rachel pada perlawanan akhir.

“Sivasangari mencipta kebangkitan yang baik...ia adalah perlawanan naik-turun untuknya hari ini, terutama apabila memperagakan aksi santai. Pada set terakhir, dia ketinggalan 7-2 tetapi selepas itu dia bermain dengan sangat baik.

“Rachel menampilkan aksi terbaik dan memberi tumpuan selepas mendahului 1-0. Kami tidak menjangka Tong tidak bermain dengan baik kerana mungkin tertekan untuk menang,” katanya.

Sementara itu, skuad lelaki negara mencetuskan keterujaan dengan mengetepikan Hong Kong 2-1.

Pemain nombor satu negara Ng Eain Yow memulakan perlawanan akhir dengan cemerlang apabila menewaskan Lau Tsz Kwan 3-0 (11-7, 11-8, 11-8) tetapi kedudukan kemudian terikat 1-1 selepas Addeen Idrakie tewas kepada Henry Leung 1-3 (11-4, 7-11, 2-11, 7-11).

Bagaimanapun, pemain nombor 130 dunia, Ameeshenraj Chandaran muncul wira negara apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain nombor 88 dunia Tang Ming Hong 3-1 (8-11, 11-8, 11-6, 11-4).

Ia merupakan gelaran kedua yang diraih skuad lelaki negara dalam tiga edisi terakhir selepas muncul juara pada 2021.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan