EKONOMI

MALAYSIA-CHINA BINCANG ISU GEOPOLITIK SERANTAU, PERLUAS HUBUNGAN DAGANG - PM ANWAR

19/06/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang berserta delegasi kedua-dua negara pada hari ini, membincangkan isu geopolitik serantau serta berkaitan kepentingan bersama.

Perdana Menteri berkata mesyuarat yang berlangsung selama lebih satu jam itu turut menyentuh potensi kerjasama ASEAN-China di bawah kepengerusian Malaysia pada tahun depan, Dasar Satu China dan situasi di Laut China Selatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menyatakan keperluan untuk China memainkan peranan dalam soal krisis kemanusiaan di Myanmar, selain menzahirkan penghargaan di atas sokongan tegas China terhadap Palestin.

“Saya turut mengambil kesempatan untuk menjemput Presiden Xi Jinping untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia secepat mungkin.

“Perbincangan hari ini membincangkan potensi memperluas hubungan perdagangan kedua-dua negara dan ketika ini, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lepas.

“Mesyuarat ini turut menyentuh kemajuan projek antara kedua-dua negara seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi serta beberapa bidang lain yang berpotensi untuk diteroka bersama termasuk kenderaan elektrik, pelancongan, pertanian, ekonomi digital, pendidikan dan teknologi,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di aplikasi X (dulu dikenali sebagai Twitter),

Pada masa sama, Anwar berkata beliau dan Li juga senada dalam komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan yang terjalin erat antara kedua-dua negara, berlandaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama di bawah konsep MADANI dan 'Komuniti Masa Depan Bersama.’ 

Malah, Perdana Menteri mengalu-alukan lebih banyak perkongsian strategik dan pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia sebagai kesinambungan terhadap prestasi pelaburan tahun lepas yang mana sebanyak 64 pelaburan China bernilai US$2.6 bilion diluluskan dan membabitkan hampir 10,000 peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, Anwar juga menzahirkan penghargaan di atas kunjungan penuh bermakna delegasi China berkenaan ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara. 

Li tiba malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari yang merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan