POLITIK

PRK SG BAKAP: KESEPAKATAN BN, PH PASTIKAN JENTERA PARTI BERJALAN DENGAN BAIK

23/06/2024 09:04 PM

ARAU, 23 Jun (Bernama) -- Kesepakatan dan kesepaduan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) membolehkan jentera parti bergerak dengan baik dalam membantu memastikan kemenangan calon gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata gabungan itu telah melalui PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor dan segala kelemahan yang ada dapat diperbaiki bagi meraih sokongan rakyat.

“Bila jentera parti berjalan baik, strategi dapat dilakukan dengan terbaik seterusnya memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pilihan terbaik untuk kestabilan di Pulau Pinang (adalah) di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 6 Julai manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Shamsul Anuar, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, berkata kepimpinan UMNO di Perlis memiliki keupayaan merangka strategi baharu bagi membolehkan parti itu bangkit semula seterusnya merampas negeri berkenaan daripada PN pada Pilihan Raya Umum ke-16. 

“Dengan strategi dan pendekatan yang akan dilakukan oleh parti, saya percaya apa yang dihadapi oleh UMNO di Perlis adalah satu petanda kepada UMNO untuk melakukan perubahan mencari pendekatan baharu menarik sokongan masyarakat Melayu di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan