JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS JURUTEKNIK TNB DIDAKWA KEMUKA DOKUMEN PALSU

26/06/2024 12:18 PM

IPOH, 26 Jun (Bernama) -- Seorang bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu empat tahun lepas.

Abdul Hadee Ahmad, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dalam pengetahuannya telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu atas nama ZG Engineering Sdn Bhd bagi April 2020 berjumlah lebih RM19,000 dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu TNB.

Dia didakwa dengan curang mendorong TNB untuk membuat pembayaran itu pada 28 Okt 2020 untuk kerja-kerja yang tidak dilakukan.

Kesalahan didakwa dilakukan di TNB Cawangan Bidor, Batang Padang di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Abdul Hadee turut didakwa atas pertuduhan pilihan memperdayakan TNB untuk membuat pembayaran dengan jumlah, tarikh kejadian dan lokasi yang sama mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Sharul Azuan menawarkan jaminan RM15,000 dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun Ahmad Shamil merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang dua daripadanya menghidap autisme.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 26 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan