EKONOMI

BNM BOLEH AMBIL TINDAKAN SELIAAN, PENALTI BAGI GANGGUAN KHIDMAT DALAM TALIAN BANK - LIM

26/06/2024 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) boleh mengenakan tindakan penyeliaan dan penalti ke atas pelanggaran undang-undang di bawah seliaannya bagi insiden gangguan perkhidmatan dalam talian bank yang berlaku kebelakangan ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata tindakan susulan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, akan bergantung kepada penilaian berkaitan punca utama serta impak gangguan yang dikemukakan oleh pihak terbabit. 

“Merujuk insiden gangguan perkhidmatan dalam talian (bank) yang berlaku kebelakangan ini, BNM telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan institusi perbankan terbabit menentukan punca utama gangguan dan seterusnya menetapkan langkah pembetulan serta pencegahan bersesuaian bagi mengelak isu sama berulang.

“Di samping itu, bank-bank juga telah diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan terjejas, termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan akibat gangguan berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai pandangan kerajaan terhadap isu kekerapan gangguan perkhidmatan itu serta sejauh mana kesediaannya mengenakan penalti bagi insiden yang menyusahkan pengguna.

Menjelaskan selanjutnya, Lim berkata BNM turut membuat pemantauan rapi bagi memastikan institusi perbankan terbabit bertindak memulihkan perkhidmatan perbankan secepat mungkin.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, BNM mempunyai bidang kuasa mengenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan ke atas institusi kewangan yang tidak mematuhi mana-mana peruntukan dokumen dasar yang relevan.

Ini seperti kegagalan memastikan sistem-sistem kritikal yang menghadapi masa henti tidak dijangka yang menjejaskan akses perkhidmatan untuk pelanggan agar tidak melebihi masa henti maksimum boleh diterima.

Selain itu, menjawab soalan tambahan Wee berkenaan ketidakstabilan transaksi e-pembayaran, Lim berkata pembayaran berkaitan adalah segera kecuali bagi hari perayaan dan minggu yang akan diapung sehingga hari perniagaan berikutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan