POLITIK

PRK DUN SG BAKAP: SEMBILAN LAGI PERMIT DILULUSKAN HARI KEENAM KEMPEN

27/06/2024 06:41 PM

NIBONG TEBAL, 27 Jun (Bernama) -- Polis mengeluarkan sembilan lagi permit untuk kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra bagi parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, yang masuk hari keenam berkempen hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata ia menjadikan 34 permit telah diluluskan sejak bermula kempen bagi PRK itu pada 22 Jun lepas, dan tiada permohonan permit yang ditolak setakat ini.

“Semua pihak diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi kepada sesiapa semasa berkempen. Pihak polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial untuk mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan, yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan