AM

SYED HUSIN PEJUANG NEGARA YANG SUKAR DIGANTI

29/06/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan Allahyarham Dr Syed Husin Ali sebagai seorang pejuang negara yang sukar diganti.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi melahirkan rasa bertuah kerana mengenali Allahyarham ketika bersama-sama berjuang dalam PKR.

“Saya bersyukur sempat mengenali dan belajar dari beliau dan sempat hadir ke Masjid Kampung Tunku hari ini sebelum beliau dikebumikan. Sedekahkan doa kepada seorang pejuang negara yang sukar diganti.

“Hidupnya tidak mahu didendang, sakitnya dirahsia supaya tidak jadi beban, maka matinya wajar kita kenang. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Mengimbau kembali detik bersama Allahyarham mulai 2003 apabila PKR bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Rafizi berkata beliau adalah anggota Majlis Pimpinan Pusat termuda ketika itu manakala Allahyarham ialah Presiden PRM.

“Selepas saya berhenti dari kerjaya korporat untuk kembali kepada parti sejak 2009, saya dan Dr Syed Husin berada dalam Biro Politik PKR sejak 2010 hingga sekarang,” katanya.

Syed Husin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR meninggal dunia di Hospital Selayang awal pagi ini pada usia 88 tahun.

Dilahirkan di Johor, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden PRM serta profesor di Universiti Malaya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi pada 1985 hingga 1990.

Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari dan Chang Lih Kang menyifatkan Syed Husin sebagai tokoh yang amat berjasa dan sentiasa teguh dalam perjuangan reformasi.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Dalam Negeri menerusi Facebook pula berkata Allahyarham akan dikenang sebagai sahabat, guru dan tokoh yang amat dihormati dalam perjuangan panjang PKR.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Parti (JPP) PKR yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bakti dan jasa baik Allahyarham akan sentiasa dikenang serta diabadikan dalam lipatan sejarah.

Dalam pada itu Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan menyifatkan Allahyarham sebagai teladan unggul seorang patriot yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan lain.

“PAS percaya perasaan yang sama turut dikongsi banyak pihak lain atas jasa, sumbangan dan perbadi mulia beliau sepanjang hayatnya baik sebagai ahli akademik, pemikir, aktivis sosial, ahli politik, penulis mahupun sebagai seorang kawan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan