AM

TREND ‘CHILDFREE’ TIDAK SELARI SUNNAH RASULULLAH

29/06/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernema) -- Trend ‘childfree’ dalam kalangan sesetengah pasangan suami isteri yang menganggap anak adalah satu beban, tidak selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa bahawa gaya hidup berkenaan adalah makruh mengikut syarak.

“Berdasarkan hadis Nabi SAW, Rasulullah menyebut kahwinilah wanita yang penyayang, subur kerana Baginda berasa bangga dengan memiliki umat yang ramai.

“Kita tahu juga hadis nabi turut menyebut apabila mati anak Adam (manusia) itu maka terputus amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariyah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan ibu bapa...jadi berdasarkan kedua-dua hadis ini, saya menasihatkan generasi muda untuk memikirkan bahawa anak-anak ini bukanlah satu beban buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sembang santai ‘Anak Muda Hero Keluarga’ sempena sambutan Hari Bapa 2024 di sini hari ini. 

Bagaimanapun Mohd Na’im berkata sekiranya pasangan itu merancang keluarga atas sebab kesihatan atau kewangan, ia tidak menjadi kesalahan.

“Yang saya faham childfree ini langsung tidak mahu anak sebab dia rasa anak beban dan mereka masih lagi nak merasa macam bujang, tidak bolehlah,” katanya.

Beliau turut meminta para doktor untuk memainkan peranan dengan memberikan nasihat dan saranan yang baik kepada pasangan khususnya yang berpegang kepada fahaman childfree

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Selasa lepas, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab yang dibolehkan syarak adalah haram.

Sementara itu Mohd Na’ im berkata program sembang santai berkenaan diadakan untuk mendidik anak muda dalam memainkan peranan sebagai suami atau isteri. 

Sepanjang lebih 20 tahun menjadi Hakim dan Ketua Hakim di Mahkamah Syariah, Mohd Na’ im berkata  antara masalah rumah tangga yang utama adalah berpunca daripada isu kewangan dan penderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan