DUNIA

SEMBILAN PEJALAN KAKI MAUT, EMPAT CEDERA SELEPAS DIREMPUH KERETA DI SEOUL

01/07/2024 11:45 PM

SEOUL, 1 Julai (Bernama-Yonhap) -- Sekurang-kurangnya sembilan orang maut  dan empat lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di pusat bandar Seoul pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan polis.

Pada mulanya, tujuh individu yang cedera telah dibawa ke hospital, tiga daripadanya mengalami serangan jantung. Mereka kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

Kemalangan itu berlaku di persimpangan berhampiran Dewan Bandaraya Seoul pada kira-kira pukul 9:27 malam, menurut polis.

Sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an merempuh pejalan kaki yang sedang menunggu di lampu isyarat.

Polis berkata kenderaan itu dipandu ke arah yang salah, bertembung dengan dua kenderaan sebelum melanggar orang ramai.

Pemandu terlibat telah ditahan di tempat kejadian. Dia mendakwa bahawa keretanya tiba-tiba memecut.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Isnin mengarahkan pegawai untuk melakukan usaha terbaik bagi menyelamatkan mangsa dan merawat mereka susulan kemalangan maut itu di pusat bandar Seoul itu.

Yoon mengeluarkan arahan itu kepada Menteri Dalam Negeri Lee Sang, sementara polis sedang menyiasat keadaan sebenar kemalangan itu.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan