EKONOMI

USAHAWAN EKSPORT PERLU PEKA PERKEMBANGAN DAN AKSES PASARAN PELABURAN ANTARABANGSA

02/07/2024 03:13 PM

MELAKA, 2 Julai (Bernama) -- Kalangan usahawan pengeksport Malaysia perlu sentiasa peka dan bersedia dengan perkembangan serta akses ke pasaran antarabangsa agar sebarang penambahbaikan seiring dengan strategi pengeksportan negara.

Ketika menegaskan perkara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ini penting memandangkan pasaran eskport dunia kini ke arah pemasaran dan perdagagangan digital serta perniagaan rentas sempadan, sekali gus menjadikan sektor eskport kian mencabar.

Malah, tegasnya, promosi perdagangan juga tidak boleh hanya di peringkat luar sahaja tetapi perlu meluas sehingga ke akar umbi.

“Atas alasan itu, kita adakan Hari Eksport 2024 kerana mahu berkongsi aspek persiapan, risikan dan akses pasaran memandangkan ada 49 pejabat (MATRADE) di seluruh dunia yang mempunyai keupayaan jaringan dengan rangkaian dewan perdagangan dan industri di negara berkenaan.

“Sehubungan itu, sekiranya ada perubahan dasar di negara tersebut, kita perlu cerapnya dengan pantas agar boleh menukar strategi pengeksportan. Jika gagal, kita akan ketinggalan dalam perkembangan eksport negara yang sebelum ini mencatat (nilai)  RM1.42 trilion,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Hari Eksport 2024 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Datuk Ginie Lim.

Mengulas selanjutnya, Reezal Merican juga menyarankan supaya transformasi usahawan pengeksport turut meliputi penerokaan ke negara-negara baharu bagi meluaskan pasaran masing-masing, termasuk di Afrika yang mana penduduknya kini mencecah 1.4 bilion.

Mengulas program Hari Eksport 2024 yang berlangsung sehingga esok, beliau berkata selain memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana di Malaysia ke pasaran eksport, kerjasama dengan lima kerajaan negeri bagi penganjuran acara itu juga menjadi platform membangunkan lebih ramai usahawan terbabit dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan berkualiti ke pasaran dunia.

“Kita mulakan dengan Melaka kerana kerajaan pusat melihat Melaka sebuah negeri yang stabil dari aspek politiknya dan membolehkan sistem penyampaian dengan lebih pantas.

“Faktor ini akan menjadi pilihan utama kepada pelabur. Malah kejayaan Melaka menerima pelaburan langsung dari luar negara dan domestik sebanyak RM6 bilion pada 2023 membuktikan keupayaannya menarik pelabur," katanya.

Acara Hari Eksport itu seterusnya akan dianjurkan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak dan Perak yang menyentuh pelbagai topik termasuk kesediaan eksport, peluang eskport di pasaran antarabangsa, eskport secara digital dan kemudahan pembiayaan.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan