KEPALA BATAS, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berbangga dengan pencapaian dan kecemerlangan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.
Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata IPPT USM menawarkan kepakaran perubatan dan pergigian di samping program akademik serta penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan sains dan teknologi.
Beliau berkata ditubuhkan sejak 2002, IPPT USM kini telah berkembang kepada sebuah pusat perubatan yang menawarkan bidang ankologi, radioterapi dan brakiterapi untuk merawat kanser terutamanya kanser kepala dan leher, hati, esophagus serta sarkoma.
"Kecemerlangan IPPT USM telah mendapat perhatian dunia apabila Brachyacademy, sebuah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Belanda, dengan rasminya mengisytiharkan pusat itu sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy.
"Ini kerana, IPPT merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah dalam jumlah yang tinggi menggunakan teknik HyBIRT (Hybrid Brachytherapy followed by Intensity Modulated Radiotherapy) dan menjadi perintis kepada teknik ini di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan merasmikan IPPT USM sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy, di Bertam di sini hari ini.
Zambry berkata IPPT USM juga telah menerima undangan dan permohonan daripada ahli brakiterapi dari luar negara untuk hadir dan menerima latihan di sini sejak menerima pengiktirafan BrachyAcademy.
Beliau berkata hingga kini, IPPT USM merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menerima akreditasi itu dan turut menerima pengiktirafan antarabangsa daripada syarikat gergasi pembekal peralatan radioterapi dan rawatan kanser, Elekta yang berpangkalan di Sweden.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial