DUNIA

BURSA MALAYSIA KEKAL POSITIF PADA TENGAH HARI, DIPACU BELIAN SAHAM WAJARAN TINGGI

03/07/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya setakat tengah hari Rabu, dipacu oleh aktiviti belian ketara membabitkan saham-saham wajaran tinggi selain menjejaki prestasi pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.57 peratus atau 9.14 mata kepada 1,607.10 daripada 1,597.96 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks petunjuk utama yang dibuka menokok 1.64 mata kepada 1,599.60, turut berlegar dalam julat 1,599.60 hingga 1,607.82 sepanjang sesi dagangan awal hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 695 berbanding 358 manakala 449 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 903 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 3.20 bilion unit bernilai RM1.92 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata seiring dengan lonjakan harga komoditi, ia menjangkakan kalangan peniaga mengalihkan tumpuan kepada sektor tenaga dan perladangan bagi tempoh sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.

Pada masa sama, peningkatan pelaburan dalam perkhidmata pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan, diunjur memberi manfaat kepada sektor seperti pembinaan, hartanah, bahan binaan serta tenaga boleh baharu.

“Malah, kami yakin prestasi S&P500 dan Nasdaq yang mencecah paras tertinggi sewaktu dagangan ditutup (semalam) akan menyaksikan minat belian turut tertumpu kepada sektor teknologi pada minggu ini,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Firma pembrokeran itu berkata pasaran akan turut memantau beberapa perkembangan penting termasuk minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang dijadual dikeluarkan lewat hari ini serta pengumuman data gaji bukan perladangan negara maju itu pada Jumaat ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM9.99, RM4.04 dan RM6.30 manakala Tenaga Nasional meraih 12 sen kepada RM14.12 dan CIMB menokok tiga sen kepada RM6.91.

Bagi saham aktif, Go Hub yang melakukan kemunculan sulung di Pasaran ACE melonjak 61.5 sen kepada 96.5 sen, WCT naik 11 sen kepada RM1.0, UUE Holdings meraih dua sen kepada 71.5 manakala Ekovest menambah 1.5 sen kepada 46 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 90.25 mata kepada 12,402.99, Indeks FBMT 100 sebaliknya naik 87.30 mata kepada 11,971.62 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 124.14 mata kepada 12,773.31.

Indeks FBM 70 meningkat 203.51 mata kepada 18,278.23 manakala Indeks FBM ACE menambah 30.47 mata kepada 5,916.49.

Mengikut sektor pula, Indeks Tenaga naik 8.14 mata kepada 988.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Kewangan meraih 1.23 mata kepada 198.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 0.33 mata kepada 17,546.51 manakala Indeks Perladangan mengukuh sebanyak 22.40 mata kepada 7,008.27.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan