DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI, JEJAKI KENAIKAN WALL STREET

04/07/2024 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini melepasi paras 1,600 disebabkan sentimen pasaran yang kukuh sejajar dengan kenaikan semalaman Wall Street.

Pada 9.12 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.18 peratus atau 3.02 mata kepada 1,618.34 daripada paras penutup 1,615.32 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.64 mata kepada 1,615.96.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 252 berbanding 188 dengan 388 kaunter tidak berubah, 1,575 tidak diniagakan dan enam digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 426.48 juta unit bernilai RM231.72 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street ditutup lebih tinggi disokong oleh kenaikan dalam kalangan saham teknologi wajaran tinggi apabila data pekerjaan menunjukkan kelemahan dalam ekonomi, meningkatkan harapan dalam kalangan pelabur bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah lebih awal.

Syarikat terkemuka teknologi AS memperoleh semula daya tarikan, ia percaya minat belian mungkin akan berlaku terhadap saham teknologi tempatan.

“Pertumbuhan pusat data dan potensi pengumuman kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur–Singapura akan meningkatkan minat pelabur dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan tenaga boleh baharu.

“Memandangkan persekitaran dolar US yang lebih lemah, peniaga mungkin mengambil peluang untuk melihat sektor komoditi seperti minyak dan gas, emas dan perladangan kerana harga asas mereka telah menunjukkan kenaikan semalaman lebih,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.02, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM14.20 dan RM6.98, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.08 dan IHH Healthcare melonjak satu sen kepada RM6.34.

Kaunter paling aktif menyaksikan Ocean Fresh penampilan sulungnya di Pasaran ACE menokok 59 sen kepada 87 sen, Jaks dan Hextar masing-masing melonjak 17 sen dan 27.5 sen, Siab naik 1.5 sen kepada 15 sen manakala WCT merosot 2.5 sen kepada 96 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.18 mata kepada 12,474.92 Indeks FBMT 100 menokok 12.90 mata kepada 12,041.48 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 3.93 mata kepada 12,830.54 manakala Indeks FBM ACE meningkat 1.23 mata kepada 5,975.59.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 Index susut 15.33 mata kepada 18,334.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.43 mata kepada 17,648.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.51 mata kepada 199.62, Indeks Tenaga menambah 4.83 mata kepada 992.91 manakala Indeks Perladangan meningkat 6.31 mata kepada 7,032.34.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan