AM

SHEIKH AL-AZHAR TAMATKAN LAWATAN KHAS DI MALAYSIA

05/07/2024 10:11 AM

SEPANG, 5 Julai (Bernama) -- Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb hari ini menamatkan lawatan khas empat hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sheikh Al-Azhar diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan. 

Penerbangan komersial membawa Sheikh Al-Azhar berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 9 pagi ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan. 

Dalam rangka lawatan khas empat hari bermula Selasa lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Sheikh Al-Azhar di Istana Negara semalam. 

Sheikh Al-Azhar turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penganugerahan kepada Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir itu disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas.

Anwar menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.

Beliau berkata  Sheikh Al-Azhar yang dikenali sebagai ketua ilmu telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan