POLITIK

PRK SG BAKAP: POLIS BERI JAMINAN KESELAMATAN HARI PENGUNDIAN ESOK

05/07/2024 02:30 PM

NIBONG TEBAL, 5 Julai (Bernama) -- Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu esok kerana keadaan keselamatan berada di tahap paling baik, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad.

Beliau memberi jaminan 800 pegawai dan anggota polis yang bertugas esok akan melaksanakan kawalan keselamatan dan menjaga ketenteraman bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Kami telah gerakkan dan menyusun pasukan polis untuk menjalankan semua tugas yang dirasa perlu terutama dalam menjaga keselamatan pengundi, malah kita juga akan menjaga lalu lintas bagi memastikan kelancaran ketika mereka keluar mengundi,” katanya pada sidang media sempena PRK DUN Sungai Bakap di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.

Hamzah turut menasihati pengundi untuk tidak memberikan kad pengenalan mereka kepada orang lain kerana bimbang ia disalah guna, disabotaj atau tujuan lain oleh pihak tidak berkaitan, sebaliknya hanya menyerahkan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika di pusat pengundian esok.

Beliau berkata pengundi juga diminta keluar mengundi awal terutama pada sebelah pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan keadaan cuaca tidak menentu yang kerap hujan pada sebelah petang sekarang ini.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas khususnya ketika di tempat mengundi dan letakkan kenderaan mereka di tempat dibenarkan, dari segi keanggotaan polis trafik yang bertugas pula saya rasa ia mencukupi,” katanya.

Hamzah berkata semua penyokong parti diingatkan untuk tidak membuat perarakan meraikan kemenangan atau melakukan sebarang provokasi selepas pengumuman keputusan PRK DUN Sungai Bakap malam esok.

Beliau berkata sebarang perhimpunan atau perarakan di mana-mana lokasi sama ada sebelum, semasa atau selepas penjumlahan rasmi dan pengumuman keputusan pilihan raya adalah tidak dibenarkan sama sekali.

PRK yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan