DUNIA

PM Perancis Akan Letak Jawatan Pada Isnin

08/07/2024 10:59 AM

ANKARA, 8 Julai (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Perancis pada Ahad mengumumkan beliau akan mengemukakan peletakan jawatannya kepada presiden pada Isnin, berikutan keputusan pusingan penentu pilihan raya Parlimen.

Gabriel Attal berkata "tiada kumpulan yang ekstrem", merujuk kepada parti sayap kanan National Rally (RN) dan pakatan sayap kiri New Popular Front (NFP) yang memperoleh majoriti untuk mentadbir negara.

“Malam ini, formasi politik yang saya wakili dalam kempen ini tidak mempunyai majoriti. Saya akan menyerahkan peletakan jawatan saya kepada presiden pagi esok,” Attal dipetik oleh Agensi Anadolu (AA).

Menurut unjuran terkini berdasarkan anggaran syarikat peninjau Ifop, NFP mungkin memenangi 180 hingga 205 kerusi di Dewan Negara, dewan rendah parlimen Perancis.

Pakatan berhaluan tengah, Together for the Republic yang disokong oleh Macron pula diunjurkan menduduki tempat kedua dengan 164 hingga 174 kerusi, manakala RN pimpinan Marine Le Pen pula dijangka meraih antara 130 hingga 145 kerusi.

Dewan Negara mempunyai sejumlah 577 kerusi, dan tiada satu pun daripada tiga blok utama ini diunjurkan mencapai majoriti mutlak 289 kerusi.

Pusingan pertama pengundian yang diadakan pada 30 Jun menyaksikan 76 calon berjaya dipilih tanpa memerlukan pusingan penentu.

Macron membubarkan Parlimen Perancis dan menyeru pilihan raya awal selepas RN menguasai lebih 31 peratus undi pada pilihan raya Parlimen Eropah, 9 Jun lalu, menewaskan blok berhaluan tengah beliau.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan