AM

Tumpuan Malaysia Ialah Pemulangan Aset 1mdb - Saifuddin Nasution

06/07/2024 01:19 PM

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Kerajaan pada masa ini memberi tumpuan terhadap usaha pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kerajaan difahamkan terdapat perjanjian penyelesaian dikatakan antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dengan ahli perniagaan sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low berhubung isu terbabit.

"Apabila aset itu dikembalikan kepada DOJ, kita tahu ia membabitkan aset negara, sudah tentu fokus kita tentang asset repatriation (pengembalian aset)," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Larian Hari Polis di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan tidak memberi tumpuan kepada usaha memburu Jho Low, Saifuddin Nasution berkata fokus kerajaan buat masa ini hanya melibatkan proses penghantaran pulang aset negara.

Baru-baru ini, Jho Low dilaporkan akan menyerahkan harta bernilai lebih US$100 juta (RM471 juta), termasuk sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni Claude Monet dan Andy Warhol.

Tindakan itu dibuat bagi menyelesaikan kes pelucutan hak sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana syarikat pelaburan 1MDB.

Aset yang dilucut hak itu adalah tambahan kepada hampir US$1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk kapal layar bernilai US$120 juta (RM503 juta) yang Jho Low dan keluarganya dilucut hak sebelum ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan