EKONOMI

Timbalan Menteri Ketuai Delegasi Dalam Lawatan Kerja Dan Promosi Agrikomoditi Ke China

07/07/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Fong Hin akan mengetuai delegasi Malaysia ke China untuk lawatan kerja dan promosi agrikomoditi dari 8 hingga 12 Julai 2024. 

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan hari ini, lawatan itu dianjurkan kementerian dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM China).

“Dalam lawatan itu, timbalan menteri akan mengadakan pertemuan peringkat tinggi dengan rakan sejawatannya daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China (MEE) serta Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) untuk membincangkan isu-isu antara Malaysia dan China, terutamanya mengenai perdagangan agrikomoditi,” katanya. 

Selain itu, Chan dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Industri Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-15, yang akan menekankan kepentingan minyak sawit dan peranannya dalam keterjaminan makanan global.

“Beliau juga akan menekankan komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit mampan melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan menggariskan hubungan perdagangan yang penting antara kedua-dua negara, memanfaatkan Inisiatif Jalur dan Laluan untuk meningkatkan eksport pelbagai produk agrikomoditi ke China,” katanya.

Chan juga dijangka menyampaikan ucapan pembukaan pada Dialog Meja Bulat mengenai “Kerjasama Rantaian Nilai Hijau Malaysia-China: Menggalakkan Pembangunan Rendah Karbon dan Peralihan Adil dalam Minyak Sawit, Meningkatkan Ekonomi Hijau dan Menyokong Pemulihan Berdaya Tahan”.

“Antara mesej ucapan itu ialah komitmen Malaysia terhadap kemampanan melalui pensijilan MSPO dan langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon, termasuk pelaksanaan program pencampuran biodiesel yang bertujuan untuk mencapai B30 menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan