AM

Klinik Kesihatan Jenis Tiga Di Kampung Raja Pemangkin Kemudahan Kesihatan Penduduk

07/07/2024 01:28 PM

JERTIH, 7 Julai (Bernama) -- Klinik Kesihatan Jenis Tiga (KK3) di Kampung Raja di sini yang dijangka mula beroperasi bulan depan bakal menjadi pemangkin baharu untuk kemudahan kesihatan rakyat di sekitar kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pembinaan klinik yang melibatkan peruntukan RM32 juta itu siap sepenuhnya bulan lepas dan akan beroperasi sebaik sahaja diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Projek pembinaan klinik ini kita mulakan pada 2020 dan siap pada 10 Jun 2024. Kini sedang dalam proses memasukkan perabot.

“Klinik dua tingkat di kawasan seluas 1.6 hektar ini mampu menampung sebanyak 200 pesakit setiap hari serta ada dua pakar akan ditempatkan di sini iaitu pakar pergigian dan pakar perubatan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek klinik kesihatan jenis tiga di Kampung Raja di sini hari ini.

Ahmad berkata pembinaan klinik kesihatan oleh Jabatan Kerja Raya itu bagi menggantikan Klinik Kesihatan Kampung Raja sedia ada yang tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai, tidak mempunyai doktor pakar dan tidak mempunyai kawasan parkir yang sesuai.

Beliau berkata klinik kesihatan baharu yang terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Jertih itu turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti kuarters kakitangan, pos pengawal, rumah pam, blok sokongan, kawasan parkir dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya telah meluluskan projek pembinaan sebuah lagi jambatan merentasi Sungai Besut di Jertih sepanjang 1.2 kilometer dengan peruntukan RM118 juta.

“Sekarang kita dalam proses reka bentuk jambatan dan tender bagi pembinaannya akan dibuka pada Mei tahun hadapan. Ia akan menjadi sebuah jambatan ikonik untuk bandar ini (Jertih),” katanya.

Pembinaan jambatan baharu yang bersebelahan dengan jambatan sedia ada itu dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu cuti dan perayaan di bandar Jertih yang menjadi laluan utama untuk ke Kelantan dari Terengganu.

Ahmad berkata kementerian juga meluluskan pembinaan stesen bas di Jertih dengan peruntukan RM16.9 juta.

Beliau berkata pembinaan stesen bas baharu itu bagi menambah baik stesen bas sedia ada dengan dilengkapi kemudahan terminal bas berbumbung, kaunter tiket, premis jualan dan sebagainya.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan