AM

Kira-kira 1.3 Juta Kediaman Terlibat Banci Pertanian 2024

07/07/2024 02:50 PM

ARAU, 7 Julai (Bernama) -- Kira-kira 1.3 juta kediaman di seluruh negara dijangka terlibat dalam Banci Pertanian 2024 yang bermula hari ini hingga Oktober ini, melibatkan lebih 5,000 pegawai Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pihaknya akan mendapatkan perincian antaranya mengenai profil pertanian meliputi demografi dan penggunaan tanah yang membolehkan maklumat itu dikumpulkan dalam usaha melaksanakan dasar berkaitan.

"Banci ini kita pergi rumah ke rumah untuk pembancian. Jadi yang ini membolehkan penambahbaikan misalnya petani kita ini golongan tua tapi kita tak ada profil, jadi ia akan hasilkan maklumat dengan efektif.

"Pertanian ini adalah keperluan, jadi kita perlukan maklumat untuk memajukan sektor pertanian di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada operasi Banci Pertanian 2024 peringkat negeri Perlis di sini hari ini. Turut serta Pengarah Perangkaan Perlis Hamka Ismail.

Peluncuran Banci Pertanian 2024 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada 4 Julai lepas dan ia bermula hari ini bagi tempoh tiga bulan.

Mohd Uzir berkata pihaknya berkemungkinan turut membuat bancian melibatkan penduduk di kawasan bandar bagi operasi Banci Pertanian itu memandangkan terdapat individu mempunyai tanah di kampung tetapi menetap di bandar. 

Selain itu, beliau berkata lebih 20,000 syarikat dalam pertanian di seluruh negara akan terlibat dalam pembancian oleh pihaknya nanti.

"Kita menjangkakan dapatan data dalam Banci Pertanian 2024 ini akan dikeluarkan pada awal suku pertama tahun depan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan