AM

Fifi Nurfatin Tekad Lakukan Perubahan Demi Pendidikan Anak Orang Asli

07/07/2024 04:48 PM

IPOH, 7 Julai (Bernama) -- Kesusahan melihat anak-anak Orang Asli sepertinya untuk ke sekolah membuatkan Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan, 18, tekad membawa perubahan baharu dalam dunia pendidikan bagi membantu mereka menuntut ilmu pada masa depan. 

Penerima Anugerah Khas Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1446 peringkat negeri Perak itu berkata antara perubahan itu ialah mendapatkan peruntukan kenderaan bagi mengangkut anak-anak Orang Asli ke sekolah. 

“Sewaktu saya mengadakan program motivasi di beberapa sekolah rendah yang semua muridnya adalah anak-anak Orang Asli, saya dapati masalah mereka adalah bukan sahaja susah nak belajar tapi nak pergi ke sekolah pun ada kekangan.

“Contoh pembaharuan yang ingin saya lakukan adalah dengan mendapatkan peruntukan van atau bas untuk anak-anak Orang Asli ini pergi ke sekolah kerana sebelum ini mereka kata tiada kenderaan ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Khas bersempena dengan Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1446 itu di sini hari ini. 

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan anugerah kepada penerima.

Fifi Nurfatin adalah anak Orang Asli daripada kaum Semai, dikurniakan Anugerah Khas setelah berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut Fifi Nurfatin, dia sendiri tidak menyangka mendapat pengiktirafan itu kerana percaya lebih ramai pelajar yang turut mencatat keputusan cemerlang dalam SPM di Perak.

“Pertama sekali saya sangat bersyukur sebab saya percaya bukan saya sahaja yang dapat 9A… ini adalah sebagai anugerah mewakili Orang Asli.

“Saya satu-satunya anak Orang Asli di Perak yang mempeoleh 9A. Saya harap dengan keputusan yang cemerlang ini dapat menginspirasikan kaum Orang Asli yang lain juga,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi guru dan kini sedang menunggu tawaran daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) dijadual Ogos ini.

Fifi Nurfatin sebelum ini pernah menerima Anugerah Cemerlang Orang Asli Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pahang selepas memperoleh 5A 1B bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada 2018. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan