AM

Kpm Saring Semula Data Pajsk Calon Spm 2023 Tercicir Markah

09/07/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan menyaring semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tercicir markah PAJSK.

KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan data itu akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program.

“KPM mengambil serius isu calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir markah PAJSK.

“Tindakan segera telah diambil untuk menyaring semula data PAJSK calon yang tercicir,” menurut kenyataan itu.  

Kementerian juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai perkara berbangkit itu dan melaksanakan langkah intervensi bagi menyelesaikannya dan memastikan isu sama tidak berulang pada masa akan datang.

Untuk rekod, pelajar lepasan SPM yang ingin memohon melanjutkan pengajian melalui sistem UPU, pengiraan markah merit akan merangkumi markah 10 peratus kokurikulum selain keputusan peperiksaan. 

Baru-baru ini, media melaporkan isu markah PAJSK lepasan SPM yang kosong sehingga mengakibatkan ada pelajar gagal dalam permohonan untuk meneruskan pengajian ke institut pendidikan tinggi atau tawaran yang diperoleh bukan pilihan pertama.

Antaranya, penjaga pelajar sebuah sekolah mendakwa anaknya gagal mendapat pilihan pertama selepas keputusan permohonan UPU lepasan SPM 2023 diumumkan pada 27 Mei lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan