AM

Teater Hikayat Hang Tuah Antara Tarikan Melaka Heritage Festival

07/07/2024 07:25 PM

MELAKA, 7 Julai (Bernama) -- Persembahan Teater Hikayat Hang Tuah di Encore Melaka antara tarikan Melaka Heritage Festival 2024 yang dijadual diadakan di sekitar Banda Hilir pada 12 hingga 14 Julai ini.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata festival bertemakan ‘Warisan Kita, Kebanggaan Kita’ itu dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata selain persembahan teater berkenaan pada 13 Julai, festival itu turut menampilkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan warisan antaranya Perarakan Kebaya dan Busana Klasik di pekarangan bangunan Stadthuys pada 12 Julai serta 'Malakka Dutch Week' termasuk pameran berkaitan hubungan dua hala antara Melaka dan Belanda di Balai Seni Lukis Melaka selama seminggu bermula 13 Julai.

 "Pelbagai persembahan seni, budaya dan warisan turut diketengahkan seperti tarian pelbagai etnik di Melaka, kompang, silat, wushu, dondang sayang, pantun, nazam dan pameran serta jualan produk kraf tangan. 

"Acara kemuncak ialah Teater Hikayat Hang Tuah yang dijangka dihadiri 1,800 orang termasuk duta dari pelbagai negara dan kita juga menganggarkan Melaka Heritage Festival bakal menarik kehadiran hingga 70,000 pengunjung," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Eksplorasi Jejak Seni @ Muzium Melaka serta 'Museum Heritage and Art Phonegraphy Competition' yang turut dihadiri Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka Erne Hamsah di sini hari ini.

Zaidi berkata gambar berkaitan manuskrip dan artifak sejarah termasuk panji-panji berkaitan perang Selangor-Belanda melibatkan penjajah berkenaan dan Raja Haji di Teluk Ketapang yang terdapat di Muzium Marin di Belanda juga akan dipamerkan kepada pengunjung sempena pameran 'Malakka Dutch Week'.

"Kita akan mempamerkan gambar manuskrip dan artifak sejarah termasuk panji-panji berkenaan dahulu sebelum memohon kerjasama daripada kerajaan Belanda untuk membawa barangan berkenaan balik ke Melaka pada November hadapan," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Eksplorasi Jejak Seni @ Muzium Melaka serta 'Museum Heritage and Art Phonegraphy Competition' selama sehari itu merupakan platform kepada peserta terutama golongan muda menghargai peninggalan sejarah dan warisan yang berada di sekitar tapak UNESCO.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan