AM

Kapal Kargo Karam, 10 Kru Termasuk Kapten Diselamatkan

08/07/2024 02:27 PM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Sepuluh kru termasuk kapten kapal kargo MV KUMJIN terselamat selepas kapal berkenaan karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, Sepang dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata maklumat berhubung insiden itu diterima pihaknya melalui panggilan kecemasan, yang memaklumkan sebuah kapal kargo mengalami kebocoran di bahagian hadapan ‘ballast tank’ yang agak teruk.

Beliau berkata susulan panggilan kecemasan itu Bot Perkasa 36 APMM telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk, kira-kira pukul 3.35 pagi.

“Setiba di lokasi, pasukan bot ronda APMM mendapati kapal MV KUMJIN dalam keadaan tidak stabil, dan kesemua kru serta kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata anggota APMM kemudian bertindak membantu memindahkan kesemua kru ke atas Bot Perkasa 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata kapten kapal merupakan seorang warga Indonesia berusia 53 tahun manakala kru kapal lain merupakan warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan