AM

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL: KPDN MELAKA PERIKSA 80 PREMIS, 108 PERKHIDMATAN, BARANGAN

10/07/2024 12:02 PM

MELAKA, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memeriksa 80 premis dan 108 perkhidmatan serta barangan setakat 20 Jun lepas sejak penyasaran subsidi diesel dilaksanakan. 

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin berkata pemeriksaan itu dilaksanakan di bawah Op Kesan 2.0, bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan caj atau harga barangan sewenang-wenangnya. 

“Kesemua perkhidmatan dan barangan yang diperiksa diminta untuk mengemukakan perincian maklumat bagi caj yang dikenakan.

“Kita juga jalankan pemeriksaan ke atas premis yang dikenal pasti bagi mengesan sekiranya berlaku peningkatan caj dan harga yang tidak selaras dengan mekanisme untuk menentukan keuntungan tinggi tidak munasabah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang mahu tahu langkah diambil bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan.

Allex berkata KPDN juga meningkatkan penguatkuasaan merangkumi aspek mengekang gejala antipersaingan dalam pasaran termasuk elemen kartel dalam bentuk pakatan harga di bawah peringkat pengeluaran dan pasaran.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lepas di semua stesen runcit di semenanjung mengikut formula Automatic Pricing Mechanism sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan