EKONOMI

SOLARVEST LANTIK DANIEL RUPPERT SEBAGAI KETUA PEGAWAI PELABURAN

10/07/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd melantik Daniel Ruppert sebagai Ketua Pegawai Pelaburan berkuat kuasa 1 Julai, 2024.

Syarikat pakar tenaga bersih serantau itu berkata Ruppert mempunyai lebih dari 15 tahun pengalaman dalam perbankan pelaburan dan pengurusan perniagaan, dengan rekod pencapaian yang kukuh dalam sektor teknologi, media, telekomunikasi, dan tenaga.

"Kepakaran beliau penting dalam memacu strategi pelaburan Solarvest dan mempercepatkan trajektori pertumbuhannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Davis Chong Chun Shiong berkata Ruppert akan memainkan peranan utama dalam mempercepatkan misi Solarvest untuk memimpin peralihan tenaga bersih di peringkat serantau dan mencapai pertumbuhan mampan merentas pelbagai sektor.

"Dengan pengetahuan yang mendalam dan penglibatan aktifnya dalam industri tenaga mampan, beliau adalah tambahan yang berharga kepada pasukan dan bersedia untuk memimpin inisiatif pelaburan kami," katanya.

Ruppert akan bertanggungjawab untuk pemerolehan aset tenaga bersih, peruntukan modal strategik, dan pengurusan portfolio serta risiko.

Beliau pada masa ini sedang mencari peluang-peluang pelaburan segera dalam pelbagai teknologi tenaga bersih di seluruh Asean merangkumi tenaga solar, angin, hidro, biogas/biomassa, penyimpanan tenaga, kecekapan tenaga dan ekosistem kenderaan elektrik.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan