AM

BINA RUMAH MAMPU MILIK IKUT PERMINTAAN BUKA PELUANG GOLONGAN B40 MILIKI RUMAH

10/07/2024 09:55 PM

MELAKA, 10 Julai (Bernama) -- Saranan kerajaan negeri agar pemaju membina Rumah Mampu Milik (RMM) mengikut permintaan berbanding jumlah kuota yang ditetapkan dilihat mampu membuka peluang kepada lebih ramai golongan B40 memiliki kediaman yang lebih baik.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk Murad Husin berkata selain perlu mengikut permintaan di sesuatu kawasan, jualan unit RMM juga bergantung kepada kemampuan pembeli mendapatkan pinjaman bank untuk pembelian rumah.

"Ini kerana bila mengikut kuota, kita sudah ada jumlah unit yang perlu bina dan inilah yang Ketua Menteri mahu dikaji semula dan saranannya agar rumah dibina mengikut permintaan di sesuatu kawasan.

"Sebagai contoh, kita bina rumah kos rendah 100 unit seperti ditetapkan dalam kuota tetapi permintaannya tidak tinggi di kawasan itu. Jadi kita boleh kurangkan kepada 70 sahaja dan lebihan unit itu, kita boleh pindahkan kepada jenis unit lain yang lebih mendapat permintaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara LPM dan Nusantara Tulin Sdn Bhd yang disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri di sini hari ini. 

Murad berkata saranan itu juga dilihat mampu memberi kesan positif memandangkan tidak semua orang mahu membeli rumah kos rendah disebabkan mempunyai kemampuan untuk pinjaman bank namun pada masa sama sukar membeli jika harga rumah tinggi.

Dalam pada itu, sebanyak 654 unit RMM yang dibangunkan di Semujok, Jasin di kawasan seluas 2.023 hektar (50 ekar) tersebut melibatkan pembinaan 64 unit rumah kos rendah dengan harga RM70,000 seunit, 64 unit rumah kos sederhana (RM120,000 seunit), 84 unit RMM Type A (RM180,000 seunit), 246 unit RMM Type B (RM215,000) dan 196 unit RMM Type C (RM250,000).

Projek yang dibangunkan dalam mukim Merlimau itu perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh Permulaan Kerja-Kerja Pembangunan bagi setiap fasa yang dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan