AM

PAC CADANG NRES PINDA AKTA PEMBANGUNAN MINERAL, KENAKAN TINDAKAN PERLOMBONGAN HARAM

11/07/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) supaya tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram dapat dilaksanakan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatankuasa itu mendapati Akta 525 hanya terpakai ke atas perlombongan yang sah sahaja dan sebarang tindakan perundangan terhadap aktiviti perlombongan haram tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata PAC antara lain mencadangkan dapatan dan butiran lengkap projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dibentang kepada jawatankuasa itu. 

"PAC merumuskan bahawa kadar simpanan NR-REE di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 16.2 juta tan yang bernilai RM810 bilion. Bagaimanapun, perlombongan NR-REE tidak dibenarkan di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK). 

"Justeru, satu projek rintis perlombongan NR-REE telah dijalankan di luar kawasan HSK di Kenering, Perak. Berikutan itu, panduan aktiviti perlombongan NR-REE di luar kawasan HSK telah diedarkan pada Disember 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata kementerian itu perlu melaksanakan libat urus bersama kerajaan negeri bagi menggalakkan pemakaian Akta Perhutanan Negara Pindaan Tahun 2022 (A1667) yang antara lain bertujuan menangani isu penguatkuasaan di peringkat negeri berkenaan isu tanah runtuh dan pencerobohan hutan. 

Katanya, Seksyen 3A akta itu memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberikan kuasa secara bertulis kepada mana-mana pegawai perhutanan Persekutuan untuk menjalankan penguatkuasaan namun kebanyakan kerajaan negeri masih belum mengguna pakai akta itu.

Beliau berkata PAC mencadangkan NRES terus berusaha mendapatkan komitmen daripada kerajaan negeri dan wilayah untuk mengurangkan aktiviti pembalakan serta memfokuskan aktiviti ekopelancongan dan inisiatif perdagangan karbon supaya impak negatif dapat diminimumkan.

Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu mencadangkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak bersama kerajaan negeri serta agensi terlibat dengan pengurusan perhutanan dan tanah supaya lebih aktif melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berkesan termasuk penggunaan teknologi terkini.

"Lanjutan syor itu, Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan negeri juga perlu melaksanakan kajian keperluan perjawatan bagi memastikan sumber manusia mencukupi daripada segi bilangan dan berkemahiran untuk menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara konsisten serta efektif," katanya. 

Mas Ermieyati berkata PAC turut mencadangkan NRES memastikan Jabatan Alam Sekitar segera melaksanakan penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) kepada Jabatan Perhilitan.

Justeru, katanya pematuhan dan penguatkuasaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar dapat segera dilaksanakan bagi menangani konflik manusia-hidupan liar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan