POLITIK

PRK NENGGIRI: 33 PEGAWAI, ANGGOTA SPRM KELANTAN TERLIBAT

11/07/2024 04:31 PM

KOTA BHARU, 11 Julai (Bernama) -- Seramai 33 pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan terlibat sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Ogos depan.

Pengarah berkenaan, Rosli Husain berkata kesemua anggota itu akan bertugas secara bergilir-gilir selama 24 jam mengikut tiga sesi iaitu pagi, petang dan malam di bilik gerakan utama yang beroperasi di Ibu Pejabat SPRM Kota Bharu dan di pejabat SPRM Cawangan Gua Musang.

Beliau berkata bilik gerakan ini beroperasi 24 jam di Ibu Pejabat SPRM Kota Bharu dengan menempatkan dua anggota untuk bertugas setiap sesi iaitu pagi, petang dan malam yang diselia oleh seorang pegawai kanan.

"Manakala, di cawangan Gua Musang pula kita akan buka sepanjang waktu pejabat bermula 8 pagi hingga 5 petang untuk memastikan kelancaran operasi sepanjang PRK DUN Nenggiri," katanya kepada pemberita selepas Program Ahli Politik dan SPRM Negeri Kelantan 'Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah'  di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosli berkata orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa kepada pihaknya untuk tindakan selanjutnya sambil mengingatkan kepada semua calon serta parti politik yang bertanding agar tidak melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan Kerusi Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan