EKONOMI

PENARAFAN JP MORGAN BUKTI USAHA BERTERUSAN KERAJAAN BAWA PEMBAHARUAN - FAHMI

11/07/2024 05:20 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani & Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Tindakan JP Morgan menyemak naik penarafan terhadap Malaysia kepada ‘neutral’ daripada ‘underweight’ selepas hampir enam tahun membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam membawa pembaharuan yang mencetuskan keyakinan baru pelabur, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata peningkatan penarafan itu bukan satu perkara yang mudah dan semakan itu merupakan petunjuk kukuh bahawa Malaysia berada di landasan yang betul.

“Perkara ini memberi keyakinan pasaran terhadap langkah dan usaha kerajaan untuk menambah baik tadbir urus, selain dengan dasar dan kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah,” kata Fahmi, yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan, kepada Bernama di sini, pada Khamis.

Semalam, JP Morgan bertindak menyemak naik penarafan terhadap Malaysia kepada ‘neutral’ daripada ‘underweight’ selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

Dalam wawancara dengan stesen media CNBC, Ketua JP Morgan bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun/China) Rajiv Batra turut mengetengahkan tindakan Malaysia mengambil langkah berani dalam penyasaran subsidi, termasuk diesel selain memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan diberi bantuan tunai secara bulanan.

Beliau juga memuji kerajaan atas langkah meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar seperti pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Tahap kemajuan pesat Malaysia juga memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 4.2 peratus pada suku pertama 2024 selain Malaysia kini kembali menjadi tumpuan pelabur, katanya.

“Lihat saja di Asean pada tahun ini, yang menyaksikan aliran keluar (dana) US$7 bilion dalam ekuiti Asean.

“Malaysia juga (tidak terkecuali apabila) bermula pada paras rendah dengan aliran keluar hampir US$150 juta hingga US$160 juta pada suku pertama, namun pada suku kedua, pelabur asing kembali dengan (aliran masuk dana) kira-kira US$200 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan