EKONOMI

LANDSKAP KESUBURAN MALAYSIA ALAMI PERUBAHAN KETARA - DOSM

12/07/2024 04:04 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Landskap kesuburan Malaysia telah mengalami perubahan ketara dengan penurunan daripada 4.9 anak pada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Menurut DOSM dalam kenyataan media hari ini, peralihan itu berkait rapat dengan kelewatan perkahwinan iaitu golongan perempuan memilih untuk merancang keluarga pada usia lebih berumur kerana mengejar pendidikan dan kerjaya.

Selain itu, DOSM mendapati purata umur perkahwinan juga telah meningkat dengan ketara daripada 24.7 tahun (1990) kepada 28.9 pada 2022, memberi kesan kepada tahap kesuburan.

“Sekiranya trend penurunan kesuburan berterusan, saiz isi rumah Malaysia juga mengecil pada masa akan datang dan berdasarkan dapatan Banci Malaysia 2020, purata saiz isi rumah persendirian di Malaysia menurun daripada 5.5 pada 1970 kepada 3.9 orang pada 2020, yang akan mengakibatkan bilangan penduduk Malaysia berkurang,” menurut kenyataan itu.

Laporan berkenaan diterbitkan bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia disambut setiap pada 11 Julai 1989, bertujuan meningkatkan kesedaran kepada kepentingan isu kependudukan di dunia.

Tema sambutan Hari Penduduk Sedunia pada tahun ini ialah ‘Kuasa Data Yang Inklusif Ke Arah Masa Depan Yang Berdaya Tahan Dan Saksama Untuk Semua’, yang bertujuan memberi kesedaran akan kepentingan penggunaan data dan maklumat sebagai sumber utama bagi pelaksanaan sebarang inisiatif untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Mengenai demografi global, DOSM memaklumkan penduduk dunia telah bertambah daripada 1 bilion pada 1800 kepada 8.1 bilion pada 2024.

“Walaupun penduduk dunia terus berkembang, pertumbuhannya semakin perlahan sejak 1950 disebabkan penurunan kadar kesuburan.

“Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di peringkat dunia merekodkan 2.3 anak manakala TFR Malaysia 1.6 anak pada 2022,” menurut kenyataan itu.

Malaysia juga telah mengalami fasa penurunan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) mulai 1958 iaitu 43.3 kelahiran kepada 12.9 kelahiran pada 2022 bagi setiap 1,000 penduduk.

Pada 2022, Terengganu merekodkan CBR tertinggi dengan 21.3 kelahiran manakala Kuala Lumpur merekodkan CBR terendah iaitu 10.1 kelahiran.

Di peringkat daerah, CBR tertinggi direkodkan di Song, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu dengan 24.3 kelahiran manakala daerah Kinabatangan, Sabah merekodkan kadar terendah iaitu 4.6 kelahiran.

Mengenai aspek peningkatan jangkaan hayat, DOSM memaklumkan seorang bayi yang lahir pada 2023 secara purata dijangka hidup sehingga 74.8 tahun dengan bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada tahun itu masing-masing dijangka hidup sehingga purata umur 72.5 dan 77.4 tahun berbanding 61.6 dan 65.6 tahun pada 1970.

Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi 2023 dicatatkan di Selangor (78.1 tahun) manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah iaitu 71.2 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan