EKONOMI

AGROBANK SEDIA RM200 JUTA BANTU PENEROKA FELDA MILIKI RUMAH

14/07/2024 12:33 AM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Agrobank memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM200 juta bagi membolehkan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang layak, memiliki rumah pertama di bawah Program Kediaman Mampu Milik-i.

Dalam kenyataannya, bank itu berkata skim pembiayaan berkenaan menjadi bukti dedikasi Agrobank dalam memperkasa komuniti peneroka, selaras dengan sambutan Hari Peneroka Felda penuh bermakna yang disambut hari ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata sambutan terhadap kemudahan pembiayaan ini amat memberangsangkan dengan jumlah permohonan mencecah RM137 juta setakat ini.

“Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM59 juta kepada pemohon yang layak dan membuktikan komitmen kami dalam membantu peneroka Felda merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Kerjasama erat antara Agrobank dan Felda dijalinkan sejak 2020 dan terus membuahkan hasil positif dalam memperkasa kesejahteraan peneroka.

Di bawah Program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), Agrobank bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan Program Kediaman Mampu Milik-i dengan peruntukan besar pada tahun ini, malah turut menambah baik syarat pembiayaan serta menawarkan kadar keuntungan yang lebih rendah untuk pemohon yang layak.

Kolaborasi strategik ini diteruskan pada tahun 2021 dengan Program Pembangunan Peneroka (PPP) bernilai RM100 juta yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi warga peneroka secara holistik, kata Agrobank.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan