AM

LEBIH 4,000 GURU TABIKA KEMAS SERTAI KURSUS KAEDAH HAFAZAN AL-QURAN

14/07/2024 04:47 PM

LARUT, 14 Julai (Bernama) -- Seramai 4,145 guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menjalani kursus berkaitan pendedahan kaedah penghafazan al-Quran bermula bulan ini.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata kursus yang dilaksanakan secara jangka pendek itu bagi mengajar lebih 140,000 murid Tabika Kemas di seluruh negara menerusi Program Pra-Tahfiz.

"Kursus ini dilaksanakan secara berperingkat yang mana terdapat 42 siri kursus akan dijalankan. Bagi satu siri kursus kira-kira 100 guru Tabika Kemas akan menyertainya.

"Mereka (guru) akan diajar mengenai kaedah-kaedah bacaan antaranya dalam aspek tajwid dan taranum," katanya ketika ditemui pemberita pada Pertandingan Buah Durian Terbaik Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau 2024 di Batu Kurau di sini hari ini.

Ahmad Kamal Idris berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 60 peratus murid Tabika Kemas akan menguasai sekurang-kurangnya 20 surah lazim.

"Kaedah hafazan ini lebih kepada pembelajaran yang menyeronokkan, kita gunakan teknik menyanyi atau bermain," katanya sambil menambah setiap murid dibekalkan dengan empat buku modul hafazan yang diberikan secara percuma.

Tabika Pra-Tahfiz Kemas merupakan program memperkasa pendidikan al-Quran selain memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Program Penghayatan Islam) di Tabika Kemas dalam melahirkan 'Huffaz Cilik' (hafiz) yang menguasai hafazan surah-surah dalam juzuk 'amma (juzuk ke-30) dan surah pilihan.

Program itu turut menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi mengukuhkan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak. 

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober tahun lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra-Tahfiz Kemas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan