SUKAN

Kda Fc Janji Beri Tetangan Sengit Pada Separuh Akhir Pertama Piala Fa

14/07/2024 03:36 PM

ALOR SETAR, 14 Julai (Bernama) -- Pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menjanjikan pasukannya akan memberi tentangan sengit apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, di sini Jumaat depan.

Beliau berkata ketua jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Zain juga sudah ada perancangan dan merangka strategi yang dirasakan mampu memberi saingan kepada pasukan lawan.

“Yang pasti kita mahu memberi tentangan yang sengit, mahu beri suatu persembahan paling menarik dan kalau diizinkan Allah, kita akan mendapat satu keputusan luar jangkaan sebab kita memang akan berhadapan pasukan yang hebat.

“Jurulatih pun dah beritahu ada perancangan yang sesuai dengan strategi untuk melawan JDT, mudah- mudahan perancangan itu berjaya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Keahlian KenariCare di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECG Capital Sdn Bhd Asward Mahadzir dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin.

Mohd Daud berharap pemain-pemainnya akan berusaha keras untuk mencipta keputusan yang positif nanti.

“Harap jurulatih dan pemain akan mengeluarkan ‘skil terbaik daripada yang terbaik’ dan kemampuan mereka, yakin diri dan jangan gentar. Biasalah bola sepak, kita kena lawan betul-betul dan yang penting persembahan yang mantap,” katanya yang turut berharap penyokong dapat memberi sokongan padu pada perlawanan tersebut.

Menyentuh mengenai pelancaran KenariCare, Mohd Daud berkata KDA FC menjalin kerjasama dengan ECG Capital Sdn Bhd untuk menawarkan kepada peminat dan penyokong setia pasukan itu dengan pelbagai manfaat istimewa.

“Tawaran keahlian bermula serendah RM35 sebulan itu menawarkan manfaat perlindungan takaful hayat sehingga RM100,000, tawaran diskaun pembelian di lebih 30 rangkaian niaga terpilih, diskaun pembelian barangan rasmi KDA FC  dan keutamaan dalam pembelian tiket perlawanan di tempat sendiri.

“KDA FC menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 keahlian dapat dicapai sehingga Dis tahun depan dengan sebahagian daripada yuran keahlian bulanan dapat digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi pasukan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Asward berkata pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan KDA FC dalam menguruskan program KenariCare yang julung kali diadakan dalam kalangan pasukan bola sepak di negara ini.

“ECG Capital akan membantu KDA FC untuk mencapai sasaran 100,000 langganan keahlian. Dalam masa yang sama kami akan memastikan manfaat keahlian KenariCare ini akan ditambah bagi memberikan nilai kepada ahli yang melanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan