AM

KAIN BATIK NENEK JADI INSPIRASI LUKISAN BERNILAI RIBUAN RINGGIT

15/07/2024 01:37 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Menyusuri beberapa karya seni realisme yang dipamerkan di sebuah hotel bertaraf lima bintang baru-baru ini, mungkin tidak ramai yang tahu keindahan lukisan itu mengambil inspirasi lukisan kain batik yang berusia 50 tahun. 

Tampak hidup dengan kepelbagaian motif berasaskan alam semula jadi, karya realisme yang menggabungkan teknik tiga dimensi sentuhan jari ajaib Nur Syafiqah Mohd Sanusi, 25, bukti tekad perjuangannya mengangkat warisan seni batik ke persada lebih tinggi. 

Siswazah Sarjana Muda Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) komited menjadikan batik sebagai ‘signature’ menerusi kepakarannya dalam lukisan bergenrekan realisme semakin mencipta nama dan hasil karyanya mula mencuri pandangan peminat seni. 

Dijual sehingga ada mencecah ribuan ringgit serta dipamerkan di platfrom berprestij, namun bukan ‘nilai wang ringgit’ menjadi dambaannya kerana bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, yang menjadikan kerjaya pelukis sebagai sampingan, ia lebih kepada kepuasan dan kecintaannya terhadap lakaran kreativiti kanvas.

“Saya nak batik terus kekal relevan dan sebab itu, saya cuba mempromosikannya melalui lukisan. Misalnya, saya pernah hasilkan satu karya gabungan antara kain batik dan kasut converse jenis hi-cut yang cukup menarik untuk digayakan.

“Konsep segar begini (lukisan realisme serta gabungan kain batik dan kasut), mendapat sambutan sangat menggalakkan terutamanya bagi koleksi budaya yang menggabungkan unsur masyarakat barat dan Melayu,” katanya kepada Bernama. 

Bagi pereka grafik ini, bukan menjadi kesalahan sekiranya kehalusan seni batik diterjemahkan atau dimodenkan mengikut peredaran semasa kerana ia berbalik kepada matlamat asal iaitu berpaksikan kepada usaha memikat generasi muda untuk lebih mengenali dan mencintai teksil warisan itu. 

Pada masa sama, dia mahu mengenengahkannya kepada peminat seni antarabangsa bahawa Malaysia sebenarnya tidak ketandusan khazanah berharga, bahkan kaya dengan keunikan warisan termasuklah motif tradisional mahupun yang diadaptasi. 

Biarpun begitu, anak sulung daripada empat beradik ini menegaskan, dia akan memastikan setiap karya yang dihasilkannya sama ada lukisan realisme atau seni kanvas lain, sama sekali tidak akan mengubah keaslian identiti asal keunikan warisan nenek moyang ini.

“Ketika berkarya, saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak merosakkan nilai seni sesebuah warisan kerana tidak ada gunanya, sekiranya karya kita jadi tumpuan tetapi hakikatnya, ia tidak menonjolkan ciri sebenar khazanah tersebut. Dalam hal ini, saya akan buat rujukan dulu atau tanya kepada mereka yang lebih pakar,” katanya. 

Ketika ditanya bagaimana dia terjentik hati untuk menjadikan batik sebagai ‘signature’nya, Nur Syafiqah berkata, semuanya tercetus ketika dia pulang ke kampung datuk neneknya di Kelantan semasa cuti semester dan ternampak koleksi kain batik neneknya yang disimpan sejak zaman anak dara.

Keunikan motif tradisional yang memaparkan corak bunga-bungaan pada kain batik itu mendorong dia untuk menterjemahkannya dalam karya realisme sekali gus menjadi identiti dalam setiap karya yang dihasilkannya. 

“Masa melanjutkan pelajaran dalam Diploma Seni Halus, saya perlu pilih bahan subjek dan saya memang inginkan elemen warisan Melayu. Kebetulan masa balik kampung tu, saya melihat koleksi kain batik nenek yang mempunyai perincian motif seperti bunga dan tertarik untuk menterjemahkannya dalam bentuk karya,” katanya. 

Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia tidak langsung mempunyai asas melukis, namun, itu bukan menjadi batu penghalang.

Nur Syafiqah nekad untuk meneruskan minatnya itu dengan menimba ilmu sebanyak mungkin daripada berbagai sumber yang ada ketika di universiti. 

Usahanya membuahkan hasil apabila karya kreatifnya mendapat perhatian penggiat seni lukis sehingga akhirnya turut mendapat jemputan menyertai pameran galeri seni dan terbaharu adalah pameran anjuran KolmeGlu (agensi yang membantu mempamerkan karya seniman) di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

“Saya mula sertai pertandingan seni ketika di universiti dan selepas itu, ada juga kongsi karya di platform media sosial seperti TikTok. Dari situ, saya mula terima beberapa pelanggan untuk kerja lukisan komersial dan sertai pameran mereka,” katanya.

Paling mengujakan apabila dia berpeluang bekerjasama dengan jenama tudung terkemuka, dUCk untuk mereka corak tudung jenama itu bagi edisi merdeka dua tahun lepas serta jenama tempatan lain baru-baru ini.

“Saya tak nak hadkan karya hanya pada kanvas sahaja dan kerana itu, ada juga cuba rekaan tekstil dalam bidang fesyen. Pada Aidilfitri lepas, saya ada reka baju untuk satu jenama tempatan dan insya-Allah juga pada tahun depan,” katanya yang turut mempunyai jenama pakaian sendiri. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan