SUKAN

Speedy Tigers Tutup Kempen Eropah Dengan Kekalahan

15/07/2024 11:24 AM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan kempen jelajah Eropah dengan satu lagi kekalahan, kali ini tumpas kepada India, 1-2, di Zwolle Hockey Club, Belanda pada Ahad.

India berada di depan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Harmanpreet Singh pada minit ke-11 sebelum Muhammad Fariz Harizan menyamakan kedudukan juga menerusi situasi sama, selang dua minit kemudian.

Harmanpreet sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan bimbingan Sarjit Singh, menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33, sekali gus memastikan kemenangan berpihak buat pasukan yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris itu.

Walaupun tewas buat kali kedua di Belanda, Sarjit memuji usaha ditonjolkan anak buahnya terutama dari segi pertahanan dan situasi satu lawan satu.

“Masih banyak perkara perlu ditingkatkan untuk pasukan ini dan kami sudah mengenal pasti beberapa perkara dan akan berusaha untuk memperbaik kelemahan pasukan.

“Pasukan akan terus memandang ke hadapan untuk membangunkan pasukan ini terutama dari segi aspek fizikal, kekuatan, teknikal dan taktikal,” katanya dalam satu kenyataan oleh Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Jumaat lepas, Malaysia dibelasah 0-5 oleh pasukan nombor satu dunia, Belanda pada saingan yang berlangsung di Arnhem Mixed Hockey Club.

Speedy Tigers memulakan kempen jelajah Eropah pada 30 Jun dengan mengharungi tiga perlawanan menentang Belgium B di Antwerp menerusi kemenangan 3-2, diikuti tumpas 2-4 (3 Julai) dan kembali menang 3-2 (5 Julai).

Mereka kemudian meneruskan jelajah di Jerman dan dibelasah 1-10 oleh juara bertahan Piala Dunia pada 7 Julai sebelum bangkit membenam Monchengladbach Hockey Club 9-2 pada 10 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan