AM

PINDAAN AKTA ANTILOMPAT PARTI PERLU DIKAJI SECARA TELITI, DIPERSETUJUI SECARA DWIPARTISAN - AZALINA

15/07/2024 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pindaan kepada  Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-undang tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu, sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.

“Sekarang kerajaan bersetuju nak tengok (pindaan) itu. Terpulanglah...tak ada masalah, kalau perdana menteri arah saya dalam mesyuarat kabinet untuk membawa nota dari segi dasar baharu pun tak ada masalah, saya bersedia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Anwar pada Jumaat lepas berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam akta berkenaan.

Pada 20 Jun lepas, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari pada 11 Julai menegaskan keputusan berhubung status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan adalah kekal, menyebabkan pihak pembangkang keluar Dewan beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan