AM

PROJEK NAIK TARAF KOLEJ VOKASIONAL DATO' LELA MAHARAJA LIBATKAN KOS RM10.4 JUTA

15/07/2024 07:56 PM

REMBAU, 15 Julai (Bernama) -- Projek menaik taraf Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja melibatkan kos RM10.4 juta memberi nilai tambah kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kolej yang dinaik taraf daripada Sekolah Menengah Dato' Lela Maharaja telah siap sepenuhnya pada 28 Mei 2022 itu melibatkan fasiliti bengkel kayu dan rumah Orkid bagi Program Landskap, tractor implementation shade (Program Teknologi Mekanisasi Agro), Pusat Asuhan Ikan (Program Akuakultur), Kandang Lembu Tenusu (Program Agroindustri Ternakan Ruminan) dan Mock Office (Program Pengurusan Perniagaan).

Beliau berkata KPM sentiasa berusaha menambah baik infrastruktur dan kualiti pendidikan vokasional khususnya bidang pertanian dan selari dengan kemajuan teknologi pertanian.

"Kolej Vokasional perlu menjadi peneraju kepada kepakaran pelbagai bidang dalam negara. Hala tuju juga selari dengan reformasi agenda pendidikan negara.

"Kita berharap kolej ini terus berdaya saing dan melahirkan lebih banyak kepakaran khususnya yang terkait rapat dengan program ditawarkan di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan projek naik taraf kolej berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata kerja naik taraf kolej vokasional seluruh negara melibatkan 80 projek dan 23 daripadanya telah siap sepenuhnya manakala selebihnya masih dalam proses pembinaan.

Fadhlina berkata Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja kini mempunyai 760 pelajar berpotensi melahirkan usahawan tani muda dalam menguasai pasaran tempatan dan antarabangsa selain dapat menyumbang kepada makanan negara.

"Saya selalu sebutkan mentaliti terhadap bidang vokasional ini perlu berubah, ia bukan akademik kelas kedua tetapi pendidikan arus perdana yang perlu difahamkan semua lapisan masyarakat. Infrastruktur kolej vokasional ini penting, kita harus lihat keperluannya dengan perkembangan semasa," katanya menambah kolej tersebut menawarkan sembilan program bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini.

Beliau berkata usaha menaik taraf kolej vokasional dapat mengukuhkan pengiktirafan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program diploma dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan