AM

PERUNTUKAN RM32.8 JUTA BAGI PELAKSANAAN PENYELENGGARAAN LEBUHRAYA PAN BORNEO

17/07/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM32.8 juta setahun akan diperuntukkan bagi pelaksanaan penyelenggaraan rutin di Lebuhraya Pan Borneo secara berperingkat mengikut serahan selepas kontrak projek itu siap sepenuhnya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jumlah kelulusan peruntukan ini telah mengambil kira kebolehlaksanaan tahun semasa bagi memastikan jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan melantik Syarikat Konsesi melalui perjanjian penswastaan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terdiri daripada kerja rutin, kerja berkala turapan, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa.

“Di bawah skop kerja penyelenggaraan rutin, pihak konsesi yang dilantik perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu. 

“Ini adalah untuk memastikan jika terdapat sebarang kerosakan jalan seperti jalan berlubang, kerja tampalan lubang hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selaras dasar sifar lubang atau zero pothole KKR di Jalan Persekutuan seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai perancangan jangka masa panjang kementerian melibatkan urusan pengendalian lebuh raya, jenis penyelenggaraan jalan dan jumlah peruntukan untuk menyelenggara Lebuhraya Pan Borneo setelah siap projek berkenaan.

Nanta berkata penalti akan dikenakan terhadap syarikat konsesi sekiranya tindakan yang diambil melebihi dari tempoh ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan Ali mengenai sama ada kementerian bercadang mengkaji isu penggunaan P-turn di Pan Borneo terutama di kawasan Saratok memandangkan banyak kes kemalangan berlaku, Nanta berkata kajian sedemikian telah dilaksanakan sebelum ini.

“Untuk makluman, pemilihan dan jarak setiap P-turn yang dibina di Lebuhraya Pan Borneo adalah berdasarkan kajian trafik yang telah dilaksanakan sebelum ini serta mengikut spesifikasi had laju selamat  berhampiran dengan kawasan berpenduduk tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan