AM

DEWAN RAKYAT LULUS RUU KASTAM (PINDAAN) 2024

17/07/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2024 yang bertujuan mempromosikan Pulau 1, Forest City di Johor Bahru, Johor bagi meningkatkan perkembangan ekonomi di kawasan tersebut dengan memasukkan peruntukan cukai khas ke dalam Akta 235 diluluskan persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu.

Rang Undang-Undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Terdahulu, semasa penggulungan perbahasan RUU Kastam, beliau berkata Pulau 1 ialah sebuah pulau tambak yang telah diwartakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

“Pulau ini dihubungkan dengan sebuah jambatan sepanjang 600 meter. Oleh itu, ia menepati takrifan sebagai sebuah pulau. Jadi, Pulau 1 memang ditakrifkan sebagai sebuah pulau,” katanya.

Mengenai isu ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang di Pulau 1, Lim berkata pengunjung yang keluar dari pulau itu menuju ke Malaysia perlu mengemukakan apa-apa resit, invois atau dokumen yang membuktikannya berada tidak kurang daripada 40 jam di dalam Pulau 1 kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Ini adalah satu pantauan dan Pulau 1 dijangka memberi kesan ekonomi kepada kawasan setempat dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor yang akan dibangunkan contohnya hospitaliti, kewangan dan juga peruncitan,” katanya.

Dewan Rakyat juga meluluskan RUU Eksais (Pindaan) 2024, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2024 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024.

Semasa penggulungan RUU Eksais (Pindaan) 2024, Lim berkata terdapat barang yang dikecualikan cukai di Pulau 1 iaitu minuman keras, coklat, komestik dan minyak wangi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan