AM

KELANTAN BUKA KILANG PAIP HDPE PERTAMA ATASI MASALAH BEKALAN AIR

17/07/2024 05:44 PM

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Sebuah kilang paip High Density Polythylene (HDPE) yang pertama dibuka di Kelantan sekali gus dijangka mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu “Non Revenue Water” yang sangat kritikal di Kelantan sehingga menjejaskan bekalan air bersih dan terawat di seluruh negeri.

Beliau berkata kilang HDPE Kel Intaaj Sdn Bhd ini dimiliki oleh Kelantan Utilities Mubarakan (KUM) yang juga syarikat induk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“KUM mengadakan usaha sama dengan syarikat yang prominen dalam sektor pembuatan paip HDPE iaitu Duramine Sendirian Berhad. 

Mohamed Fadzli berkata antara jabatan dan syarikat yang menggunakan paip keluaran kilang Duramine ialah Pengurusan Aset Air Berhad, Syarikat Air Negeri Sembilan dan Air Selangor Sendirian Berhad.

Kilang Kel Intaaj telah memperoleh Certificate of Completion and Compliance dan kelulusan Lesen Pengilang daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

“Bangunan kilang paip Kel Intaaj ini berkeluasan 34,744 kaki persegi dan tanah tapak kilang ini berkeluasan 1.7 hektar yang dipajak daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan,” katanya.

“Kami juga telah menjalankan Current State Assessment ke atas AKSB dan mendapati antara punca masalah bekalan air di Kelantan disebabkan paip yang sudah terlalu lama dan kecekapan sumber manusia tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata pengoperasian kilang ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu khidmat bekalan air bersih di Kelantan malah usaha untuk menarik pelaburan sekali gus merancakkan ekonomi Kelantan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan