EKONOMI

STANCHART KEKAL PERTUMBUHAN KDNK MALAYSIA PADA 4.8 PERATUS

17/07/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Standard Chartered (Stanchart) mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2024 pada 4.8 peratus, seiring dengan unjuran Bank Negara Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus.

Ketua Pelaburan Terurus dan Penasihatnya bagi Malaysia, Ng Shin Seong berkata, bagaimanapun unjuran yang diberikan adalah tanpa mengambil kira pendekatan yang akan datang mengenai rasionalisasi subsidi.

"Mengenai subsidi bahan api (diesel), kami berpandangan bahawa ia adalah pendekatan benar-benar bersasar dan mereka yang memerlukan bantuan akan mendapatkan semula bantuan.

"Rasionalisasi subsidi (mengenai diesel) akan membantu kedudukan fiskal kerajaan dan kami berpandangan ia aspek lebih positif untuk negara," katanya pada sidang media mengenai Tinjauan Pasaran Global Separuh Kedua 2024: Menyesuaikan Dengan Perubahan, di sini hari ini.

Mengenai ringgit, Ng berkata Standard Chartered meramalkan ringgit akan mengukuh kepada paras 4.66 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, disokong dengan jangkaan satu atau dua pengurangan kadar faedah di AS.

“Kami turut menjangkakan ringgit meningkat tahun depan memandangkan kami yakin Rizab Persekutuan (Fed) AS akan meneruskan penurunan kadar faedah," kata Ng.

Beliau berkata pelabur perlu menumpukan perhatian terhadap perubahan di Malaysia memandangkan prospek pelaburan di negara ini semakin baik dengan FBM KLCI meningkat 12.7 peratus tahun setakat ini.

"Malaysia menarik rekod pelaburan diluluskan pada 2023 dan muncul sebagai kuasa pusat data di Asia Tenggara.

“Pembaharuan struktur merangkumi rasionalisasi subsidi bersasar dan meneruskan pertumbuhan mampan di bawah pelan utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional dijangka menarik pelaburan berkualiti," katanya.

Pada tahun lepas, Standard Chartered melancarkan Signature CIO Funds yang terdiri daripada empat dana berbilang aset yang dipelbagaikan secara global untuk memberi pelabur runcit akses kepada perspektif CIO (ketua pejabat pelaburan) bank itu.

 Sejak daripada itu, siri portfolio berkenaan yang memenuhi keperluan risiko dan profil pendapatan berbeza telah meningkat hampir RM1 bilion.

Di peringkat global, Ketua Peruntukan Aset Stanchart, Audrey Goh berkata, bermulanya pengurangan kadar faedah oleh bank pusat utama menandakan titik perubahan penting bagi pelabur apabila penggubal dasar mengubah tumpuan ke arah menyokong pertumbuhan.

Beliau berkata Stanchart berpandangan bahawa tempoh ini adalah wajar untuk menyesuaikan perubahan dengan kekal lebih menumpukan kepada ekuiti berbanding bon dan tunai; memihak kepada ekuiti AS di peringkat global dan ekuiti India di Asia; dan memiliki emas dan bon dolar AS pasaran sedang pesat membangun sebagai kepelbagaian.

"Kami terus memihak kepada sektor pertumbuhan di AS yang memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan teknologi dan komunikasi, dan di Eropah, strategi itu konsisten dengan peningkatan prospek pertumbuhan; kami melebihkan sektor teknologi dan penjagaan kesihatan.

"Di China, kami memihak kepada penerima dasar kerajaan terpilih dan lebih menumpukan kepada teknologi, perkhidmatan komunikasi dan sektor budi bicara pengguna," kata Goh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan