AM

PROSES TUKAR STATUS PELABUHAN BINTULU SELESAI MENJELANG AWAL TAHUN DEPAN

17/07/2024 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Proses penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dijangka selesai menjelang awal tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata penukaran status itu akan dikuatkuasakan setelah keseluruhan perihal berkaitan, rundingan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak dimuktamadkan.

Beliau berkata ini bagi memastikan segala kepentingan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak daripada sudut perundangan, kewangan dan sumber manusia terpelihara.

"Saya nak memberikan komitmen yang jelas saya tidak akan melengah-lengahkan tarikh penguatkuasaan itu. 

“Tarikh penguatkuasaan itu akan saya tandatangani sejurus selepas segala perbincangan dan rundingan (berkaitan) pentadbiran dan kewangan dan sebagainya dilaksanakan serta diselesaikan.

“Kita ada garis masa yang kita persetujui bersama antara persekutuan dan negeri," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 hari ini.

Rang undang-undang (RUU) itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan tujuh wakil rakyat Sarawak.

Pada sesi perbahasan RUU itu, wakil rakyat Sarawak menyambut baik usaha kerajaan berhubung penukaran status pelabuhan berkenaan yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam menegakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melaksanakan perkara terkandung di dalam perjanjian berkenaan.

Antara yang menyambut baik usaha itu ialah Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman), Datuk Ali Biju (PN-Saratok), Edwin Banta (GPS-Selangau) dan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram). 

Turut diluluskan, Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 yang bertujuan memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Sebelum ini, memorandum persefahaman (MoU) berhubung penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dimeterai antara Loke dan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 22 Mac lepas.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan